Sabtu, 25 April 2020

6.4 IMPAK-IMPAK PENGURUSAN PUSAT SUMBER


         Impak-impak pengurusan pusat sumber telah dikaji dengan bertemu bual dengan tiga orang warga sekolah yang tidak mendapat borang soal selidik.
          Berdasarkan informen 1, pusat sumber berperanan untuk memudahkan cara perancangan dan pelaksanaan program pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, ia juga menyedia dan mempromosi bahan bacaan yang berkualiti supaya murid kekal seronok ketika membaca dan mampu menampung perbezaan dalam gaya pengajaran dan pembelajaran melalui penyediaan dan kesaksamaan akses kepada pelbagai bahan, sama ada yang bercetak, bukan cetak dan digital. Pusat sumber juga menyediakan koleksi bahan untuk keperluan kurikulum dan ko-kurikulum.
            Berdasarkan informen 2, bahan teknologi maklumat merupakan salah satu sumber yang beliau selalu digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran. Hal ini lantaran ramai murid yang menyukai bahan-bahan tersebut. Beliau menyatakan bahawa alat bantu mengajar ini dapat meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan dalam pengajaran dan pembelajaran jika sumber ini digunakan secara berkesan. Antara kelebihan bahan ini ialah murid-murid akan lebih mudah untuk memahami apa yang diajar oleh guru dan dapat mengekalkan minat pelajar untuk pelajaran seterusnya sekaligus dapat meningkatkan prestasi akademik mereka.
           Berdasarkan informen 3, pengurusan pusat sumber dalam pembelajaran telah membantu guru untuk menyampaikan ilmu agar lebih difahami oleh pelajar. Beliau menyatakan bahawa ilmu pengetahuan pelajar tidak akan berkembang tanpa pengurusan sumber. Hal ini demikian oleh pelajar tersebut hanya berfokus kepada guru sahaja. Contohnya, guru yang hanya mengajar berasaskan kepada teori sahaja tidak dapat memberi kefahaman yang maksimum kepada pelajar tanpa praktikal atau gambaran yang jelas bagi menerangkan mengenai sesuatu situasi tersebut. Dengan adanya pengurusan pusat sumber, guru boleh menggunakan bahan seperti foto-foto yang berkaitan, slaid dan video untuk dilihat oleh pelajar bagi menambahkan kefahaman mereka. Sumber juga penting dalam pembelajaran pelajar agar pelajar tersebut tidak merasa bosan ketika sesi pembelajaran sedang berlangsung. 
         Bukan itu sahaja, ketiga-tiga orang informen tersebut menyatakan bahawa pengurusan pusat sumber telah membawa impak positif yang besar iaitu membolehkan para pelajar mengisi masa luang dengan melakukan perkara yang memberikan manfaat kepada mereka. Mereka tidak akan membazirkan masa di tempat yang tidak berfaedah seperti di pusat membeli-belah, kafe siber dan sebagainya. Apabila mereka melepak di pusat sumber bersama kawan, mereka bukan sahaja dapat mengisi masa lapang dengan baik tetapi dapat menambahkan ilmu pengetahuan melalui pembacaan pelbagai bahan rujukan ilmiah yang telah disediakan.
       Secara rumus, pengurusan sumber dalam bidang pendidikan merupakan aspek penting dalam pengurusan pembelajaran dan pengurusan pusat sumber kerana ia merupakan salah satu bantuan dalam sistem pembelajaran.


Nama Penulis :
HO XIU LE
(D20191089692)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan